Isnin, Disember 07, 2009

Ubah stigma kegemukan

ARKIB : 06/12/2009

Ubah stigma kegemukan


MEREKA yang bersaiz besar boleh meneruskan kehidupan secara sihat dengan melakukan senaman secara konsisten.


SIAPA yang tidak kenal dua personaliti ini, Syanie dan Enot. Kedua-duanya memang terkenal dengan saiz badannya yang agak besar tetapi sentiasa menyenangkan orang sekeliling dengan sifat ramah mereka. Oleh kerana saiz badan mereka juga, Syanie dan Enot kelihatan begitu comel setiap kali muncul di kaca televisyen. Namun baru-baru ini, Syanie terpaksa menjalani pembedahan yang dinamakan gastric bypass.
Tujuan sebenar Syanie melakukan pembedahan tersebut bukanlah untuk kurus tetapi kerana tahap kesihatannya yang semakin merosot.
Berbeza pula dengan Enot, dia berjaya membuktikan saiz badan bukan penghalang untuk dia menyertai Sehati Berdansa 3. Siapa sangka artis berbadan montel dan comel macam Enot pun ada semangat tari yang tinggi.
Namun, masyarakat kini terpaksa bersedia berdepan dengan masalah kegemukan atau obesiti yang kian meningkat. Persoalannya, adakah golongan ini perlu menurunkan badan atau meneruskan kehidupan dengan persekitaran atau gaya hidup yang sihat?
Kedua-dua personaliti tadi membuktikan mereka cuba memperbaiki diri dan bersikap optimis.
Bagi generasi muda, pencegahan awal perlu dilakukan agar tidak menyesal kemudian hari.
Apa perbezaan obesiti dan terlalu gemuk? Menurut Presiden Persatuan Kajian Kegemukan Malaysia (MASO), Profesor Dr. Ismail Noor, obesiti dan terlalu gemuk sering kali bertukar ganti.
"Sebenarnya ia tidak sama. Obesiti ditakrifkan sebagai lebihan pengumpulan lemak badan yang membahayakan kesihatan. Pada waktu yang sama terlalu gemuk pula pada tahap yang lebih rendah dari obesiti. Kedua-dua ini berlaku apabila pengambilan (dalam bentuk makanan) melebihi tenaga yang diperlukan (metabolisme dan aktiviti fizikal)," katanya.
Tambah beliau, gaya hidup negatif akan memburukkan keadaan dan seseorang itu boleh menjadi terlalu gemuk iaitu obesiti.
Selain itu, baka, faktor fisiologi dan psikologi juga perlu diambil kira. Ada pendapat yang mengatakan bahawa 70 peratus individu menjadi terlalu gemuk kerana baka ibu bapa. Sudut fisiologi pula menunjukkan mereka mengambil makanan ketika emosi tidak stabil seperti bosan, sedih dan bimbang.
Justeru itu, langkah pengurusan iaitu mengehadkan makanan, melakukan banyak kegiatan fizikal, mengubah tingkah laku, rawatan menggunakan ubat menguruskan badan dan pembedahan adalah salah satu cara untuk mengurangkan masalah ini.
Katanya, paling utama kikis tabiat makan yang buruk.
"Makanan perlu mengandungi nutrien yang cukup, saiz makanan yang sesuai dengan keperluan badan dan waktu makan yang tetap. Rawatan lain perlu mengambil kira kesan terhadap kehilangan berat badan dan usaha mengekalkannya kerana bimbang berlakunya kesan sampingan yang boleh memudaratkan kesihatan," ujarnya.
Dr. Ismail mengulas, penurunan berat badan memainkan peranan penting dalam usaha mencegah dan melengahkan kemunculan diabetes.
Data baru-baru ini mendedahkan bahawa penularan diabetes telah meningkat daripada 8.3 peratus pada 1996 kepada 14.9 peratus pada 2006.
"Seorang daripada enam dewasa Malaysia berusia lebih 30 tahun menghidap diabetes iaitu dianggarkan berjumlah 1.4 juta orang. Penularan diabetes telah meningkat hampir sekali ganda pada dekad lepas sejajar dengan penggandaan bilangan penduduk dengan berat badan berlebihan atau gemuk," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Kajian Kegemukan Antarabangsa, Profesor Philip James pula berkata, kegemukan adalah satu masalah yang perlu ditangani kerana ia adalah punca kepada pelbagai penyakit.
"Kajian perubatan mendapati bahawa mereka yang mempunyai BMI 25 ke atas akan meningkatkan risiko menghadapi diabetes di samping serangan jantung. Kehilangan berat badan walaupun dalam kuantiti antara lima hingga 10 kilogram dapat membantu melegakan banyak masalah yang berkaitan dengan obesiti," katanya.
Beliau berkata, antara penyebab utama berlakunya obesiti ialah banyak dipengaruhi oleh gaya hidup yang diamalkan oleh individu tersebut.
Prof Philip memberitahu, diabetes adalah salah satu daripada penyakit berkait paling umum yang dialami oleh 61 peratus daripada pesakit yang gemuk dan 90 peratus daripada diabetes jenis dua disebabkan berat badan yang berlebihan.
Kegemukan juga meningkatkan risiko mengalami pradiabetes iaitu keadaan yang dicirikan glukosa darah yang lebih tinggi daripada normal.
Beliau menyarankan, betapa perlunya seseorang yang mempunyai berat badan berlebihan yang mendapati sukar mengurangkan berat badan untuk mendapat nasihat profesional daripada pakar pemakanan, pakar diet dan doktor.
Ini memudahkan individu mengetahui pilihan yang ada untuk mengurangkan berat badan termasuk farmaskoterapi dan pembedahan dalam badan yang serius.
Namun, dalam segala hal, stigma kegemukan boleh diubah sekiranya setiap individu mula mengubah gaya hidup mereka.

Selasa, Disember 01, 2009

INFO SIHAT CYBER SLIM CENTER PUTRAJAYA

Punca Kegemukan #4: Kekurangan Zat dalam Makanan

Sebelum ini, saya dah tulis 3 punca membuatkan kita gemuk.
Makanan, kadar aktiviti harian dan keturunan. Kali ini saya tulis
sedikit tentang masalah kekurangan zat dalam makanan kita seharian.
Baiklah, pernah tak rasa lapar, kemudian kita makan mee
goreng kosong dengan teh “o” ais limau kurang manis, tetapi 2 jam
selepas itu, kita rasa lapar semula dan kita terpaksa makan
pula karipap 2-3 ketul.
Kenapa perkara ini berlaku ya?
Lapar bermaksud sel dalam badan kita meminta zat-zat
makanan tertentu dari kita. Contohnya, ia perlukan protein lebih
kurang 35g bagi mengimbangi dan menjalankan fungsi tertentu.
Tetapi malangnya kita cuma makan mee goreng yang hanya mengandungi
karbohidrat (mee), lemak (minyak masak) dan garam. Ini akan memberikan
rasa kenyang sebentar. Sel badan kita masih menagih protein.
Jadi selepas beberapa jam, sel badan kita akan menghantar signal
kepada otak supaya beritahu kita supaya makan lagi.
Kita akan makan lagi, tetapi malangnya kita tidak berikan apa yang
sebenarnya sel badan kita mahukan. Proses ini berulangan dan
menyebabkan kita TERmakan lebih daripada yang sepatutnya.
Kadang-kadang, kita cuba makan dengan sihat, sayur, buah,
kurang gula, kurang garam dan macam-macam lagi yang orang
kata sihat kita makan, tetapi kesannya tidak kelihatan.
Apa masalahnya?
1. Khasiat dalam makanan kita tidak sama lagi seperti dulu kala.
Teknologi telah mengubah kandungan zat makanan.
Saintis di Jepun, melaporkan bahawa kandungan Vitamin C dalam
epal dan oren di pasaran mereka HAMPIR KOSONG!
2. Cara memasak kita yang terlalu keterlaluan. Zat makanan akan
hilang jika terkena panas yang keterlaluan.
3. Terlalu banyak makanan yang kita makan telah diproses sebelumnya.
Strukturnya diubah, zat makanan menjadi tidak lengkap.
Fishball, fishcake, sotongball, crabstick, sosej, nugget dan macam-macam lagi.
Makanan tidak berzat biasanya murah.
Kita perlu lakukan sesuatu supaya kita terselamat dari musibah
yang melanda kita sekarang. Cuba beberapa tips berikut;
1. Cuba tingkatkan makan makanan mentah. Buah, salad, tomato, timun,
kacang botol, pegaga, petai dan ulam-ulaman yang lain mengantikan sayur
yang kena masak. Makan sandwich dengan roti gandum berintikan tuna dalam tin,
masukkan sedikit salad, timun, tomato dan sedikit sos cili, mungkin 5-6 kali seminggu.
(Kita makan 21 kali seminggu). Sekurang-kurangnya kita sudah berjaya
buat 25% perubahan!
2. Berkira-kiralah untuk mengambil makanan tambahan seperti Vitamin C,
multi-vitamin dan macam-macam lagi yang ada di pasaran sekarang.
Cuba dapatkan dari syarikat yang terkenal di dunia, jangan ambil dari
sebarangan syarikat, kadang-kadang kandungannya tidak seperti yang di tulis.
3. Minum air kosong (kalau boleh tapis!) yang banyak supaya badan kita
sentiasa bersih dan berfungsi dengan baik untuk membetulkan sistem
penyerapan zat makanan (usus besar-filli)
Dah tiba masanya kita ambil berat tentang apa yang kita makan
sebelum ianya terlambat. Mulakan hari ini dan muhasabah diri sentiasa.

INFO SIHAT CYBER SLIM CENTER PUTRAJAYA

Punca Kegemukan #3: KETURUNAN

Sebelum ini saya sudah kupas tentang Makanan dan Aktiviti Harian
sebagai punca-punca kegemukan.

Pernah tak dengar orang kata, satu keluarga aku gemuk,
nenek, ibu, abang, adik, kakak, semuanya gempal-gempal belaka.

Sebenarnya, Keturunan juga membawa sedikit pengaruh terhadap badan
kita, sama ada ia senang gemuk atau tidak.

Bagaimana kaitannya ya?
Dahulu kala, mungkin 1000 atau 3000 tahun dahulu, nenek
moyang kita hidup dalam kesusahan bergantung pada kawasan mereka
tinggal.

Sekumpulan tinggal di kawasan yang mudah untuk dapat makanan, dan
mereka makan mungkin sekali sehari.

Manakala sekumpulan lagi tinggal di kawasan yang amat sukar untuk dapatkan
makanan. Mereka mungkin makan sekali dalam 3-4 hari.

Penyesuaian akan berlaku pada badan mereka ini. Kadar metabolisma (pembakaran
makanan) akan menjadi amat berbeza antara kedua-dua kumpulan ini.

Kumpulan yang pertama, agak tinggi dengan kemampuan untuk menyimpan lemak
yang agak rendah.

Kumpulan yang kedua pula, metabolismanya sangat rendah dan mempunyai kemampuan
menyimpan lemak yang SANGAT tinggi!
*Lemak disimpan supaya boleh digunakan untuk jana tenaga dalam 3-4 hari
kemudiannya yang mana makanan tiada.

Genetik jenis-jenis ini tertulis terus ke atas DNA (DeoxyriboNucleic Acid) kita dan ia kekal
sehingga sekarang.

Bayangkan kita berada di kumpulan kedua, Metabolisma rendah dan kemampuan
menyimpan lemak yang tinggi. Jadi badan kita akan mudah menyimpan lemak.

Yang jadi masalahnya kita makan 3 kali sehari, bukan tiga hari sekali!
Jadi lemak yang tersimpan akan kekal disimpan kerana tidak pernah kita nak guna
sebab tiada waktu darurat.

Jika anda rasa ada tergolong dalam kumpulan kedua, maka anda kena
jaga makan dan tingkatkan aktiviti harian. Anda lebih cenderung untuk menjadi
gemuk.

Tapi kita janganlah salahkan nenek-moyang kita pulak. Pilihan masih terletak
pada tangan kita untuk jadi sihat langsing atau gemuk sakit.

INFO SIHAT CYBER SLIM CENTER PUTRAJAYA

Artikel ini diambil dari INFO SIHAT CSC untuk rujukan umum. Terima kasih En Abdul Rashid Abd Manaf !

Punca Kegemukan #2 – KURANG AKTIVITI SEHARIAN


Pada edisi sebelum ini, saya mengupas tentang Makanan sebagai punca
utama kegemukan, kali ini ia berkaitan dengan aktiviti kita seharian.

Zaman dahulu, dimana makanan susah untuk didapati, kita terpaksa
mendaki bukit, meredah hutan, mengejar kijang (teruk juga nak berlari ni),
sepanjang hari hanya untuk makan sekali pada malamnya!

Namun sekarang, ia menjadi sangat mudah. Kalau memandu di jalan raya,
siap ada Drive Thru lagi. Kalau tampal sticker kat cermin depan siap boleh
dapat aiskrim free lagi tu!

Sekarang makanan diproses di kilang dan diletakkan di almari pasaraya.
Tidak perlu lagi kita berkejar-kejar untuk mendapatkan makanan. Memang susah untuk
kita dengar yang kita kebuluran kerana kurang makanan.

Fenomena ini menyebabkan kita malas dan kurang bergerak. Duduk sahaja
di ofis, kedai makan, depan TV, atas katil yang empuk.

Kalau pergi berjalan-jalan pun ada esklator, lif, kalau kat airport tu, kita panggil walk-ator
kot.

Apabila aktiviti harian kita menjadi sangat minimum, kemampuan untuk membakar
makanan (metabolisma) yang kita makan akan menjadi sangat lemah. Badan kita
hanya akan membakar sedikit sahaja kerana badan tidak perlu tenaga yang
banyak disebabkan aktiviti kita yang kurang, tapi kita makan banyak!!

Apa yang perlu kita buat untuk atasi masalah ini?

Kita boleh lakukan macam-macam untuk meningkatkan aktiviti kita dalam seharian.

CONTOH;
1) Kalau pergi ke pejabat, kita parkinglah kereta kita di tempat letak kereta yang
paling jauh sekali dari pintu masuk pejabat.

2) Kalau pejabat tingkat 30, kita naik lif sampai tingkat 24, lepas tu panjat tangga
6 tingkat. Masa balik turun sampai tingkat 8, lepas tu turunlah tangga. Turun tak
penat sangat, jadi buat lebih sikit!

3) Kalau pergi pasaraya pun sama, parking jauh-jauh dari pintu masuk.

4) Depan TV kita angkat-angkatlah sikit dumble ke, atau beli alat senaman
yang jenis pijak kiri dia naik kanan, pijak kanan dia naik kiri, yang elok baru
RM150.

5) Cuci kereta sendiri. Kalau duduk apartment yang tiada paip kat bawah tu
lagi syok, angkat baldi air dari rumah!

6) Bercucuk tanam, sayur ke, bunga ke, kalau duduk rumah tinggi tu, kat
veranda atau tepi tingkap masih boleh letak pasu yang kecil-kecil tu.

7) Kalau rajin SENAMAN! Sikit-sikit dahulu pun tak jadi masalah.

Banyak lagi cara untuk kita tingkatkan aktiviti badan kita. Kalau nak seronok,
keluar duit sedikit, beli jam yang boleh kira berapa kalori yang kita bakar
sehari melalui aktiviti yang kita lakukan seharian. Buat rekod! Harganya RM450-RM600
dan biasanya dijual di kedai barangan senaman.

Kita tak perlu lakukan sekaligus, senaman atau aktiviti fizikal secara
mendadak. Ini akan menyebabkan otot kita terkejut. Mulakan perlahan-lahan
dan tambah dari minggu ke minggu.

Kalau kita tekad untuk lakukannya dan konsisten, bayangkan setahun
dari sekarang? Pasti kita akan langsing, menarik, sihat, cergas, pantas
dan bertenaga!

Setahun tu bukannya lama sangat, tsunami yang berlaku sebelum ini pun dah
4 tahun lepas!

Lakukan sedikit perubahan sekarang. Berdiri dan duduk 5 kali SEKARANG! Lihat
kita dah bakar 5-10 kalori dah!

Amalkan hari ini lebih baik dari semalam!